Kisah Nafsu Yang Degil Pada Perintah Allah

Posted by Unknown on Saturday 17 August 2013



Dalam Sebuah  kitab karangan ‘Usman Bin Hasan Bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad  ke Хlll Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: “Wahai akal menghadaplah engkau”. Maka akal pun menghadap ke hadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Wahai akal berbaliklah  engkau!”, lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud: “Wahai akal!siapakah aku?” Lalu akal pun berkata: “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hambamu yang daif dan lemah”.
Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Wahai akal tidak Kuciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau”.

Setelah itu Allah S.W.T. menciptakan nafsu, dan berfirman lagi yang bermaksud: “Wahai nafsu, menghadaplah  kamu!” Nafsu  tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : Siapakah engkau dan siapakah aku?” Lalu nafsu berkata : “Aku adalah aku dan engkau adalah engkau”.

Setelah itu Allah S.W.T. menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun dan kemudian mengeluarkannya.. kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Siapakah engkau dan siapakah aku?” Lalu nafsu berkata : “Aku adalah aku dan engkau adalah engkau”.

Lalu Allah S.W.T. menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu’ selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Siapakah engkau dan siapakah aku?” Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata : “Aku adalah hambamu dan kamu adalah Tuhanku”.

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T. mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini, dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu  itu, jangan biarkan nafsu mengawal kita. Sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Tinggalkan komen anda di sini...