Penganggur tikam anak dipenjara 15 tahun

Posted by Unknown on Friday 16 August 2013




SHAH ALAM - Tindakan seorang isteri memaafkan suaminya yang menikam mati anak sulung mereka dan rayuan wanita itu agar hukuman ringan dijatuhkan ke atas seorang penganggur ternyata tidak mampu mempengaruhi keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sebaliknya, Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas A.Kumar, 42 dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu sehari selepas kejadian pada 28 Mac 2011.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata hukuman berat harus dikenakan terhadap Kumar yang tergamak menikam dada Razak, 22, dengan pisau sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Beliau turut memetik kata-kata bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Mohd Yunos bahawa 'manusia sesama manusia tidak dibenarkan bermain dengan nyawa manusia'.

"Ada keterangan bahawa tertuduh seorang kaki mabuk, hisap gam dan dia buat tindakan yang tidak disukai, bukan sahaja oleh keluarga malah jiran. Tertuduh juga mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu curi serta dadah, dan ini menunjukkan dia tidak mempunyai karakter yang baik," katanya.   

Kumar didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Emas 33, Bandar Sungai Emas, Banting pada 8.20 malam, 27 Mac 2011.

Sebelum ini, dia didakwa dan dibicarakan atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun menukar pengakuannya semalam selepas pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan menyebabkan kematian selepas empat saksi memberi keterangan, termasuk isteri tertuduh, Subedah Moideen, 42.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dikatakan memarahi Kumar dan mengugut untuk meludah pinggan makannya menyebabkan tertuduh keluar untuk ke kandang arnab yang terletak di luar rumah.

Mangsa mengekori tertuduh dan berlaku pertengkaran yang berakhir dengan tertuduh bertindak menikam anaknya.

Terdahulu, peguam T.Vijay meminta Akhtar meringankan hukuman terhadap anak guamnya dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Mohd Salleh meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan perbuatan tertuduh yang menggunakan pisau pemotong makanan arnab untuk menikam anaknya.

"Kucingpun sayangkan anak, berlainan dengan kes ini di mana ayah tidak sayangkan anaknya sendiri," katanya. 

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Tinggalkan komen anda di sini...